Friday 6 April 2012

TERIMA KASIH KERAJAAN NEGERI PERAK

Kerajaan Perak memperkenalkan tiga program baru bagi menjana ekonomi golongan belia di negeri berkenaan, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata program pertama yang diwujudkan ialah skim pinjaman mikro-kredit Aman Jaya yang membabitkan peruntukan RM1 juta.

Selain itu, program kluster ekonomi keluarga turut diperkenalkan bagi membolehkan anak meneruskan perniagaan keluarga.

“Program ketiga yang diperkenalkan untuk menjana ekonomi belia tahun ialah usahawan tani di bawah seliaan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) yang membabitkan tempoh latihan selama 12 bulan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin berkaitan usaha dilaksanakan kerajaan bagi membantu golongan belia menjana pendapatan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Rosli Husin (BN-Trong) prestasi hambar pasukan Seladang dalam Liga Super, Zainol Fadzi yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), beliau berkata pihak pengurusan telah mengambil keputusan untuk menamatkan khidmat seorang pemain import yang menunjukkan prestasi hambar.

Selain itu, PAFA juga katanya, tidak menerima sebarang bantuan kewangan daripada kerajaan negeri.
“Ketika ini pasukan Seladang berada di tangga ketujuh Liga Super dan bakal bertemu dengan pasukan Kuala Lumpur pada malam esok,” katanya.

Menjawab soalan samada pembayaran kepada kedua-dua pemain import itu berbaloi atau sebaliknya, Zainol Fadzi berkata, jumlah gaji yang dibayar kepada pemain import adalah setara dengan gaji pemain kebangsaan.

Memandangkan prestasi salah seorang pemain import tidak memuaskan, pengurusan PAFA mengambil keputusan untuk menamatkan khidmat pemain berkenaan bermula April ini.
“Ketika ini, PAFA dalam proses pemilihan pemain import baru kerana kita diberi tempoh sehingga 16 April ini untuk menukar pemain tempatan dan import,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment